Jualan dalam talian mercun, bunga api dilarang, kata Saifuddin

Jualan dalam talian mercun, bunga api dilarang, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata, tindakan itu demi memastikan penjual mempunyai permit sah dibenar menjual jenis mercun dan bunga api.

Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan akan dikenakan sekiranya dikesan berlaku penjualan mercun dan bunga api secara dalam talian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak membenarkan sebarang bentuk jualan mercun dan bunga api secara dalam talian walaupun melibatkan jenis produk dibenarkan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, perkara itu merupakan sebahagian garis panduan diputuskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memberi kebenaran kepada penjualan 46 bunga api jenis ‘happy boom’ dan ‘pop-pop’.

“Jualan secara dalam talian tidak dibenarkan, saya tegaskan bahawa KDN dan polis sentiasa memantau untuk memastikan penjual yang mempunyai permit sah menjual jenis bunga api yang dibenarkan.

“Malah, jualan juga harus dibuat di tempat-tempat atau premis yang dianggap selamat dan pihak berkuasa akan terus melaksanakan penguatkuasaan mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya menurut Sinar Harian.

Saifuddin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada aduan berkaitan penjualan secara dalam talian dikesan.

“Sebarang tindakan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh polis dan KDN serta ia melibatkan agensi penguatkuasaan lain seperti kastam dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kelulusan untuk mengimport, menyimpan dan menjual mercun hanya diberikan kepada 27 syarikat yang mematuhi garis panduan serta syarat polis.

“Pihak kastam akan memastikan hanya syarikat yang mempunyai permit sah untuk mengimport bunga api dan mercun yang dibenarkan sahaja.

“PBT akan memainkan peranan mereka bagi memastikan penjual yang mempunyai permit sah sahaja yang boleh menjual bunga api dan mercun itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.