
Mengulas “sindiran” Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, yang membangkitkan ketiadaan sekali lagi Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang dalam sesi itu, Wan Saiful berkata Fahmi “jangan memberi gambaran salah”.
Beliau berkata, hanya Ahli Parlimen disebut speaker Dewan Rakyat sahaja yang boleh bertanya soalan, manakala satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan daripada pihak lain semasa sesi itu.
“Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya sahaja dari sebelah Perikatan Nasional (PN) boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. Ahli Parlimen lain tak boleh.
“Jadi, janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot pertanyaan perdana menteri ini, ketua pembangkang atau ketua parti boleh turut serta dalam tanya soalan. Tak boleh pun sebenarnya. Jangan ‘spin’ (pusing) ke arah persepsi yang salah,” katanya di Facebook.
Katanya, lebih baik PMQ ditambah baik seperti ala-Westminster yang mana ketua pembangkang diberi slot menyoal perdana menteri.
Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim banyak mengelak daripada memberikan jawapan penuh.
Beliau mahu perhatian diberikan kepada kualiti jawapan daripada perdana menteri.
“Kalau kualiti jawapan perdana menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” katanya.
Terdahulu, Fahmi menerusi hantaran Facebook mempersoalkan beberapa pemimpin PN tidak hadir ketika sesi pertanyaan perdana menteri.
Katanya, sesi itu adalah peluang terbaik kepada pihak pembangkang membangkitkan soalan dan isu tertentu secara bersemuka.