Saya beritahu China ini kawasan Malaysia, kata Anwar berkait wilayah dituntut

Saya beritahu China ini kawasan Malaysia, kata Anwar berkait wilayah dituntut

Perdana menteri berkata perkara itu dinyatakan kepada Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang dalam lawatannya ke Beijing, baru-baru ini.

Anwar Ibrahim berkata setakat ini kerajaan bertegas kawasan dituntut China adalah wilayah Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Petronas akan terus melaksanakan kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan, namun terbuka untuk rundingan jika China merasakan kawasan itu wilayah mereka.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dinyatakan kepada Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang dalam lawatannya ke Beijing, baru-baru ini.

“Tentang kegiatan China memang perkara ini diangkat kerajaan kedua-dua pihak, ada tuntutan bertindih di Laut China Selatan terutamanya kebimbangan China kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang dituntut China.

“Perkara ini saya nyatakan sendiri kepada presiden dan perdana menteri China, bahawa Malaysia menganggap ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan teruskan cari gali di kawasan itu.

“Tapi sementara itu usaha kita dari segi cari gali, saya tidak mahu mengelak daripada terus rundingan, kerana ini pendirian asal, Asean juga merasakan sebarang tuntutan bertindih harus diselesai secara rundingan, setakat ini Malaysia bertegas ini adalah wilayah Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), sama ada perdana menteri berbincang dengan pemimpin China mengenai aspek keselamatan di rantau ini termasuk kawasan sempadan negara terutama kehadiran tentera China di Laut China Selatan.

Mengulas kehadiran kapal tentera China di perairan Laut China Selatan, Anwar berkata setakat ini kedudukan agensi pertahanan negara itu berada di kawasan antarabangsa dan Kementerian Luar akan terus memantau, sekiranya ada pelanggaran Malaysia akan keluarkan nota bantahan.

Mengulas isu berkaitan kesan pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (Aukus) sebagai respons kehadiran tentera China di Laut China Selatan, Anwar menegaskan Malaysia tidak akan menyokong sebarang usaha meningkatkan ketegangan terutama di kawasan Malaysia dan zon Asean.

“Kita tidak mahu perseteruan kuasa besar menekan kita sebab itu bila diumumkan Aukus, Malaysia menyatakan keresahan agar perkara ini tak meledak sebagai suatu akan dianggap provokatif yang akan menyebabkan China meningkatkan kegiatan mereka di rantau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.