
Katanya, beliau mendapat maklum balas daripada pengarah kesihatan Perak bahawa semua doktor datang kerja seperti biasa semalam, melainkan mereka yang mengambil cuti tahunan atau kecemasan.
“Sebab apa yang kita difahamkan, mereka (ada antara doktor) telah ambil cuti, mereka meminta untuk ambil cuti kecemasan, mereka ambil cuti tahunan tak datang kerja, tetapi tuan pengarah kata mereka (yang lain) semua datang kerja,” katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Persatuan Pengamal Media Perak malam tadi.
Beliau turut mengesahkan perkhidmatan hospital di seluruh Perak tidak tergendala dengan langkah kumpulan doktor kontrak tertentu yang dilaporkan mahu melancarkan mogok di seluruh negara selama tiga hari mulai semalam sebagai memprotes isu perjawatan mereka yang masih tergantung.
Sivanesan berkata, beliau berpuas hati dengan doktor kontrak, terutamanya di Perak seramai 1,611 orang kerana semuanya komited dengan tanggungjawab masing-masing dan hadir bekerja.
Pada 29 Mac lepas, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada doktor kontrak bahawa 1,500 daripada mereka akan ditawarkan jawatan tetap tahun ini dan kerajaan memerlukan tiga tahun lagi untuk menyelesaikan masalah sejak sekian lama itu.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menyelesaikan isu itu berkata, kerajaan akan memastikan situasi menang-menang dicapai supaya tiada pihak merasa rugi atau tersingkir.
Sementara itu, Sivanesan berkata, beliau menemui Ketua Polis Perak, Yusri Hassan Basri semalam dan meminta kerjasama polis untuk menyiasat dalang di sebalik penganjuran mogok itu.
Mengenai isu parkir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, katanya, beliau meminta kerjasama polis tidak mengeluarkan saman kepada pelawat hospital itu yang meletakkan kenderaan di luar.
Pada masa sama, beliau memohon kerjasama polis untuk memberi kelonggaran kepada mereka hingga 23 Mei ini, selepas tamat kerja mengubah suai tempat letak kenderaan itu.