Baling makanan di restoran, ‘rider’ ditahan bantu siasatan

Baling makanan di restoran, ‘rider’ ditahan bantu siasatan

Suspek ditahan selepas video kejadian terhadap dua pekerja wanita tular di media sosial.

Polis berkata, suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah. (Gambar AFP)
NIBONG TEBAL:
Polis menahan seorang penghantar makanan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan e-panggilan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki membaling bungkusan makanan dan minuman ke arah dua pekerja wanita di sebuah restoran, semalam.

Video berdurasi 1 minit 20 saat memaparkan kejadian itu turut tular menerusi media sosial.

Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Mohd Norazmi Abd Ghapar, berkata pihaknya menjalankan siasatan selepas mengesan video berkenaan semalam menerusi satu akaun dipercayai milik restoran tersebut, selain turut menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah.

“Menerusi video itu, dua lelaki dipercayai penghantar makanan datang ke restoran tersebut dengan seorang daripadanya bertindak membaling bungkusan makanan dan minuman ke arah dua pekerja wanita di kaunter,” katanya dalam kenyataan.

Norazmi berkata, penghantar makanan berkenaan ditahan di daerah ini semalam, direman untuk siasatan lanjut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menyalurkan kepada IPD Seberang Perai Selatan di talian hotline 04-5858 222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.