
Individu berkenaan yang dikenali Halim Idris berkata beliau memiliki permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang membenarkannya membeli sehingga 100 liter sehari.
“Teruskan komen tidak membina atau terima surat LOD kerana memburukkan saya,” katanya di ruangan komen media.
Video tular itu sebelum ini memaparkan seorang lelaki mengisi minyak ke dalam tong di sebuah stesen minyak di Jalan Tengah, Bayan Lepas, mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Susulan aduan, KPDN Pulau Pinang menghantar sepasukan pegawai penguat kuasa ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut.
Pengarahnya Jegan R Subramaniam berkata semakan mendapati individu terbabit adalah seorang nelayan yang mempunyai permit sah bagi pembelian bahan api.
“Permit dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa dan tertakluk kepada had kuota ditetapkan.
“Sehubungan itu, aktiviti pembelian minyak oleh individu tersebut mematuhi peraturan dan tidak melibatkan sebarang kesalahan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pembelian bahan api melebihi 20 liter ke dalam tong memerlukan permit khas barang kawalan berjadual, yang lazimnya diberikan untuk kegunaan seperti operasi pertanian dan perikanan.
“Orang ramai diingatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“KPDN akan terus komited memastikan pematuhan undang-undang serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya.