25% lagi capai sasaran 80% liputan 5G

25% lagi capai sasaran 80% liputan 5G

Menteri komunikasi dan digital berkata kerajaan berada pada landasan tepat memastikan sasaran 80% liputan 5G menjelang hujung 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri bagi memuktamadkan dasar dan hala tuju pelaksanaan 5G negara. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Peratus capaian rangkaian 5G di Malaysia setakat penghujung Mac mencapai 55%, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia adalah perkembangan positif dan menunjukkan kerajaan berada pada landasan tepat dalam memastikan sasaran 80% kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G sebelum akhir tahun ini, dapat dicapai.

“Kita ada lebih kurang 25% untuk kita mencapai 80% capaian rangkaian 5G bagi kawasan yang berpenduduk menjelang hujung 2023. Yang penting kita ingin pastikan pelaksanaan ini tidak tergendala.

“Dalam perbincangan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi, ada beberapa pertimbangan yang telah diberikan tentang apa yang boleh kita lakukan untuk mempercepatkan proses itu,” katanya kepada pemberita selepas program sumbangan cahaya Ramadan di Dataran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.

Fahmi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu ini bagi memuktamadkan dasar dan hala tuju pelaksanaan 5G di Malaysia.

Terdahulu, beliau mengagihkan 500 pek makanan dan wang tunai sumbangan Yayasan TM kepada penduduk PPR Kerinchi terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, golongan B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Yayasan TM memperuntukkan RM260,000 untuk pelaksanaan program sumbangan cahaya Ramadan di seluruh negara tahun ini dan setakat ini seramai 2,100 orang menerima sumbangan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.