3 maut, seorang cedera motosikal rempuh belakang lori

3 maut, seorang cedera motosikal rempuh belakang lori

Tiga mangsa korban terdiri daripada lelaki berusia 19 hingga 23 tahun, manakala mangsa cedera berusia 14 tahun.

Keadaan motosikal seorang mangsa dalam kemalangan maut meragut tiga nyawa di Tanjung Musang, dekat Alor Setar, malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga penunggang motosikal maut, selepas kenderaan mereka melanggar belakang sebuah lori dalam kejadian berhampiran stesen minyak di Tanjung Musang, dekat Alor Setar, malam tadi.

Seorang lagi penunggang cedera di bahagian muka dalam nahas itu.

Ketua Polis Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata IPD Kota Setar menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 10.50 malam tadi.

Beliau berkata, tiga lelaki berusia 19 hingga 23 tahun terkorban, manakala seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera.

Katanya, semua motosikal jenis Sym VF31, Honda RS-Y, Yamaha Y15ZR dan Honda RS-X serta lori terbabit dipercayai dari arah Alor Setar menghala Jabi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 56 tahun yang baru selesai mengisi minyak, dipercayai hendak masuk ke laluan utama, iaitu pada jarak kira-kira 40m dari simpang keluar stesen minyak terbabit.

“Namun, ketika sedang bergerak terus di lorong kiri, tiba-tiba empat motosikal terbabit dipercayai melanggar bahagian belakang lori terbabit,” katanya menurut Berita Harian.

Akibat pelanggaran itu, katanya, tiga penunggang meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) rawatan.

Shukri berkata, pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, tiga mayat itu dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.