
Ketua Umno Kedah, Mahdzir Khalid, berkata Hari Songkran yang disambut pada pertengahan April setiap tahun memiliki keunikan tersendiri yang boleh menarik kehadiran pelancong ke negeri itu.
“Ketika mentadbir Kedah sebelum ini, Barisan Nasional sentiasa mengiktiraf sumbangan dan sokongan masyarakat Siam berkaitan kemajuan, pembangunan serta keamanan negeri mahupun negara.
“Umno menggesa pentadbiran kerajaan negeri melihat kepada kepentingan sumbangan masyarakat Siam di negeri ini daripada aspek eko-pelancongan menerusi budaya serta adat resam mereka yang terdapat dalam sambutan Hari Songkran,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Mahdzir berkata, sumbangan masyarakat Siam tidak boleh dipinggirkan walaupun jumlahnya minoriti berbanding kaum lain.
Katanya, asimilasi masyarakat Siam di Kedah sejak sekian lama menjadikan negeri itu sangat unik khususnya menerusi pelbagai acara kebudayaan termasuk sambutan Hari Songkran.
“Saya melihat sambutan Hari Songkran ini bukan sahaja boleh dijadikan acara tarikan pelancongan di peringkat negeri Kedah, malah Kementerian Pelancongan boleh juga mempromosikannya,” katanya.
Kedah ketika ini mempunyai masyarakat Siam paling ramai di Malaysia iaitu melebihi 40,000 orang.
Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan tahun baharu bagi masyarakat Siam khususnya di Thailand, yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.