
Menurut laporan The Vibes, Stereofonik Teknologi Sdn Bhd memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mac lalu dengan menamakan ketua pentadbir Parlimen dan ketua pengarah Jabatan Tanah dan Galian sebagai defendan.
Syarikat itu memohon deklarasi haknya untuk melaksanakan projek itu, perintah meluluskan geran jangka panjang 30 tahun dan ganti rugi yang tidak ditentukan. Syarikat itu turut meminta injunksi terhadap penamatan perjanjian sewa.
Dalam pernyataan tuntutannya, Stereofonik berkata, ia dilantik melaksanakan projek itu selepas membuat beberapa pembentangan kepada pelbagai pegawai, termasuk bekas speaker Dewan Rakyat, Ariff Md Yusof dan penggantinya, Azhar Harun.
Katanya, bekas ketua pentadbir Parlimen, Kamis Samin menandatangani surat aku janji pada 24 Sept 2020 untuk melantik syarikat itu mengetuai projek terbabit.
Pentadbiran Parlimen kemudian menawarkan untuk menyewa dua kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek kelab itu.
Pernyataan tuntutan itu menunjukkan lawatan tapak oleh kakitangan pentadbiran Parlimen yang diketuai Kamis diadakan pada 11 Nov 2020.
“Arkitek yang hadir dan Kamis bersetuju menyokong pemberian geran 30 tahun kepada plaintif (Stereofonik) bersama pengurangan sewa. Kadar sewa yang dipersetujui ialah RM1,000 setiap bangunan,” menurut pernyataan itu.
Beberapa minggu kemudian, Jawatankuasa Pengurusan Perumahan Perkhidmatan Awam Parlimen meluluskan tambahan tiga lagi kuarters JKR bagi memastikan kelab itu menjadi kemudahan lima bintang sejajar imej Parlimen.
Bulan seterusnya, pentadbiran Parlimen mengeluarkan surat sokongan bagi cadangan Stereofonik untuk mengurangkan geran dan sewa jangka panjang selama 30 tahun.
Tetapi, Stereofonik mendakwa pejabat tanah persekutuan tidak meluluskannya menyebabkan ia terpaksa menanggung kerugian dari segi kewangan dan kos operasi dari Disember 2020 hingga Februari 2023.
Katanya, selepas Nor Yahati Awang mengambil alih jawatan ketua pentadbir Parlimen pada Januari 2021, beliau menamatkan perjanjian sewa selepas mendengar taklimat mengenai projek itu dan surat sokongan pendahulunya.