
Beliau yang juga presiden Umno berkata, Khalid sepatutnya mendapatkan penjelasan daripadanya terlebih dahulu berhubung pendirian parti itu yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan perpaduan.
“Saya harap individu itu (Khalid) dapat membezakan pendapat peribadi beliau dengan pendirian parti keseluruhan, bagi saya beliau harus belajar menghormati rakan-rakan parti lain dalam komponen kerajaan perpaduan.
“Jangan masih mempunyai tanggapan bahawa seolah-olah beliau sebagai individu berada dalam pemikiran pembangkang,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau hari ini.
Khamis lalu, Khalid dipetik berkata Amanah memohon pengampunan diraja kepada Najib yang juga bekas presiden Umno ditolak.
Kenyataan itu dikritik pemimpin Umno termasuk “ugutan” memutuskan hubungan kerjasama politik di Kelantan.
Mengulas lanjut, Zahid berkata beliau sudah bertemu Umno Kelantan dan isu “ugutan” itu diselesaikan dengan baik.
Najib yang kini dipenjara 12 tahun kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong pada September tahun lalu.