
Di tengah-tengah spekulasi rancangan untuk menggulingkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Lim menyatakan bagaimana Sultan Johor Ibrahim Sultan Iskandar menggesa agar ketidakstabilan politik dihentikan semalam, dengan berkata “sudah-sudahlah”.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata Yang di-Pertuan Agong menggesa kestabilan politik dalam pembukaan sidang Parlimen pada Februari, selepas negara melalui empat tahun krisis politik.
Beliau menggesa Muhyiddin dan Hadi mengisytiharkan secara terbuka bahawa Bersatu dan PAS akan patuh titah Agong dan Sultan Ibrahim agar ahli politik memastikan kestabilan politik negara.
“(Saya menyeru Muhyiddin dan Hadi untuk mengisytiharkan) bahawa Bersatu dan PAS tidak akan terlibat dalam sebarang rancangan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan Anwar untuk lima tahun akan datang.
“Ini adalah ujian sama ada pemimpin politik dan ahli politik bersedia untuk menundukkan kepentingan peribadi mereka dan parti politik mereka kepada kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan.
Dilaporkan 10 Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin selepas PRU15 merancang untuk memaksa PRK. Mereka dikatakan merancang untuk keluar parti, dengan itu menggunakan undang-undang anti-lompat parti yang akan menyebabkan kerusi mereka dikosongkan.
Semalam, FMT memetik sumber sebagai berkata Istana Negara tidak akan melayan dakwaan mana-mana pihak bahawa Anwar telah kehilangan sokongan majoriti.
Pada Mac, Hadi berkata pembangkang mempunyai hak untuk merangka rancangan menjatuhkan kerajaan, sambil menambah bahawa PN sedang berusaha untuk merampas semula Putrajaya “bukan sahaja melalui pilihan raya tetapi juga di Parlimen”.
Presiden PAS berkata, “undi tidak percaya, akuan berkanun dan juga pembelotan” adalah perkara biasa dalam negara demokrasi, dan Raja tidak boleh menghalang perubahan demokrasi kerana baginda tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.