
Ia akan menjadi sangat mencabar untuk penyedia rangkaian kedua memasuki pasaran pada peringkat itu “kecuali DNB sangat teruk”, kata Mohamed yang lebih dikenali sebagai “Mal” ketika mengetuai Jaring, penyedia internet pertama Malaysia.
“Lebih baik jika mereka dibenarkan bermula lebih awal dari Januari 2024. Mungkin mereka patut bermula sekarang,” katanya kepada FMT.
Ditanya jika ada syarikat telekomunikasi lain yang berminat mendaftar dengan rangkaian baharu itu tahun depan, beliau berkata: “Hanya masa yang akan menentukannya. Setiap syarikat telekomunikasi mempunyai strategi sendiri.”

Awal minggu ini, Putrajaya bersetuju dengan pelancaran model dwirangkaian perkhidmatan 5G dengan peralihan itu akan bermula sebaik saja DNB mencapai 80% liputan ke kawasan berpenduduk, sekitar awal 2024.
Ahli ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata dengan adanya penyedia kedua perkhidmatan 5G akan membawa kepada persaingan, yang sepatutnya mengurangkan harga dan meningkatkan kelajuan inovasi baharu dibawa ke pasaran.
“Ia juga akan memberikan kestabilan terhadap perkhidmatan rangkaian kerana jika satu rangkaian berdepan gangguan, masih ada pilihan lain.”
Mengenai amaran kerajaan barat berhubung pembabitan Huawei dari China dalam pelancaran 5G, katanya, ia sekadar ancaman Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Mereka dilihat berusaha supaya Malaysia memihak kepada syarikat AS dan EU dalam sebarang bidaan pada masa depan.
Duta dari AS dan EU dilaporkan menulis surat kepada kerajaan bulan lalu, selepas Jemaah Menteri memutuskan untuk menyemak semula tender 5G bernilai RM11 bilion yang diberikan kepada Ericsson untuk membina rangkaian milik kerajaan itu.