Biar BNM jawab kritikan di Parlimen, kata bekas pemimpin Umno

Biar BNM jawab kritikan di Parlimen, kata bekas pemimpin Umno

Shahril Hamdan berkata Bank Negara sepatutnya dibenar menjawab kritikan terhadap keputusan monetarinya di Dewan Rakyat.

Keputusan Bank Negara pada 3 Mei menaikkan OPR mencetuskan kritikan ahli ekonomi dan ahli politik kerana bimbang membebankan peminjam.
PETALING JAYA:
Bank Negara perlu diberi peranan lebih aktif menjelaskan keputusan dasar monetari badan itu di Parlimen demi memastikan akauntabiliti lebih luas, kata dua bekas pemimpin Umno.

Shahril Hamdan berkata, Bank Negara sepatutnya dibenarkan menjawab kritikan terhadap dasar monetarinya di Dewan Rakyat.

“Kalau kita kata ini adalah tanggungjawab Bank Negara, penting untuk akauntabiliti dikongsi oleh Bank Negara sendiri.

“Bukan hanya buat keputusan selepas itu perdana menteri atau kementerian kewangan ketika itu, terpaksa menerangkan atau menerima pukulan politik daripada keputusan tersebut,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin.

Bekas ketua Penerangan Umno itu mengulas keputusan Bank Negara pada 3 Mei, yang menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3%.

Beliau berkata, meletakkan bank pusat di bawah bidang kuasa Parlimen bukanlah perkara baharu kerana negara seperti Indonesia, Amerika Syarikat, dan United Kingdom juga berbuat demikian.

Keputusan Bank Negara menaikkan OPR mencetuskan kritikan ahli ekonomi dan ahli politik, yang bimbang kenaikan itu membebankan peminjam.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR Hassan Karim, berkata kenaikan itu akan memudaratkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah serta boleh menjejaskan peluang kerajaan pada PRN.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, juga bersetuju dengan Shahril dan menambah orang ramai sering melihat kepada ahli politik, sebagai wakil rakyat untuk menjelaskan dasar monetari Bank Negara.

Khairy berkata, membenarkan ahli politik menjelaskan keputusan monetari Bank Negara akan menyerlahkan fakta bahawa walaupun Putrajaya mungkin tidak bersetuju dengan bank pusat itu, ia dibenarkan membuat keputusan secara bebas.

“Jika kerajaan tidak bersetuju dengan keputusan itu, maka mereka boleh mengatakan kerajaan memahami pandangan Bank Negara tetapi kita mempunyai pandangan berbeza (mengenai dasar kewangan).

“Ini adalah perbezaan antara eksekutif dan Bank Negara. Saya rasa orang ramai akan faham bahawa kerajaan tidak akan sentiasa bersetuju dengan Bank Negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.