
“Berdasarkan logik PAS, internet, televisyen, radio dan media sosial lain yang mereka guna untuk menyebarkan propaganda mereka perlu diharamkan juga kerana mempromosi nilai-nilai tertentu yang mereka tidak setujui,” kata Shakir Ameer dalam kenyataan.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Nasrudin Hassan mempersoalkan sama ada kerajaan mahu menyuburkan “budaya hedonisme dan songsang” dalam negara dengan membenarkan Coldplay mengadakan konsert di sini.
Dalam catatan Facebooknya, Nasrudin turut memuat naik gambar vokalis Coldplay, Chris Martin memegang bendera LGBT dalam konsert di London.
Nasrudin berkata, konsert itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada “agama, bangsa dan negara”.
Shakir, yang juga pengerusi DAP Shah Alam, mempertahankan siri jelajah kumpulan rock Britain itu dengan berkata, mereka mahu mempromosikan kelestarian dan kitar semula, selain mendesak pengurangan pelepasan CO2.
Beliau berkata, nilai baik itu “diiktiraf” Islam.
“PAS tidak mementingkan nilai-nilai positif. Mereka membantah apa saja demi protes atas alasan politik.”
Shakir berkata, “protes tidak logik” PAS menunjukkan parti Islam itu tiada apa yang membina untuk ditawarkan dan hanya mencari publisiti politik murahan.