
Kesemua suspek lelaki berusia antara 35 dan 50 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan pada 9 pagi Selasa hingga 2 pagi Rabu oleh Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah.
Pengarah JSJ Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan kenderaan jenis pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota dan Honda.
“Sindiket ini akan meninggalkan kenderaan berkenaan di kawasan terpencil sebelum diambil oleh sindiket lain untuk dijual ke luar negara atau dileraikan dan dijual sebagai alat ganti terpakai di pasaran tempatan,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Hilux dan Camry, selain pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.
Ayob Khan, berkata polis masih mengesan dalang utama dan saki-baki anggota sindiket berkenaan yang disyaki bergerak aktif di sekitar Lembah Klang, Pahang, Johor, dan Pulau Pinang.
“Kesemua suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.