Prestasi kerajaan perpaduan akan tawan pengundi muda PN, kata Adun

Prestasi kerajaan perpaduan akan tawan pengundi muda PN, kata Adun

Fakhrulrazi Mokhtar berkata, ramai pengundi muda PN terpengaruh dengan 'sentimen perkauman dan keagamaan' berbanding dasar pada PRU15.

Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam kerajaan Selangor akan berdepan cabaran Perikatan Nasional pada PRN akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Prestasi kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim akan membantu menawan pengundi muda daripada Perikatan Nasional (PN) pada PRN Selangor, kata seorang Adun.

Menurut Adun Meru, Fakhrulrazi Mokhtar, kajian Pakatan Harapan (PH) menunjukkan ramai orang muda terpengaruh dengan “sentimen perkauman dan keagamaan di media sosial” sehingga mengundi PN pada PRU15 November lalu.

Beliau yakin kumpulan itu akan menyokong gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) selepas melihat prestasi kerajaan sejak PRU15.

Fakhrulrazi menolak tanggapan penguasaan PH di Selangor tergugat dengan “gelombang hijau”, yang merujuk peningkatan sokongan terhadap PAS, pada November lalu.

Katanya, penduduk Selangor melihat sendiri kejayaan PH menunaikan komitmennya.

“Banyak program dinikmati mereka.”

Penganalisis politik menjangkakan PN, yang dianggotai PAS dan Bersatu, bakal meneruskan momentum diraih pada PRU15 ke PRN akan datang.

PRN perlu diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH serta Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS.

Adun Morib, Hasnul Baharuddin pula berpendapat pengaruh PAS terhadap pengundi Melayu tidak akan dilihat pada PRN akan datang.

Ini kerana, katanya, PH masih mempunyai sokongan kuat dalam kalangan akar umbi Melayu di sebalik pelbagai dakwaan dilemparkan pihak lawan.

“Saya jangka ia (gelombang hijau) hanya akan memberi sedikit kesan, tetapi kerjasama baik antara PH dan BN akan membawa kejayaan kepada kita,” katanya kepada FMT.

Fakhrulrazi berkata, sokongan pengundi Melayu di kawasan bandar Selangor tidak akan terkesan dengan pengaruh PAS.

“Bagi saya, cara terbaik berdepan ‘gelombang hijau’ adalah pemimpin PH dan BN membuktikan kepada rakyat bahawa kita berjaya membentuk kerajaan stabil yang memfokuskan isu dihadapi mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.