
Ketua PKR Pahang Ahmad Farhan Fauzi berkata, usul bertanding di kerusi Temerloh hanyalah cadangan daripada cabang PKR dan belum dimuktamad pucuk pimpinan.
“Cadangan ini hanya usul yang dibentang dan dibahaskan pada peringkat cabang melalui Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Temerloh … tidak pernah dibincangkan pada peringkat negeri mahupun pusat,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, keputusan akhir pembahagian kerusi Parlimen dan DUN akan diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk dimuktamadkan
“Agihan kerusi pilihan raya hanya akan diputuskan pada peringkat Majlis Presiden PH selepas rundingan semua komponen pada semua peringkat kawasan, negeri dan pusat,” katanya.
Dilaporkan sebelum ini PKR Temerloh sebulat suara meluluskan usul untuk bertanding dan menerajui kawasan Parlimen itu menjelang PRU16.
Susulan itu, Ketua Amanah Pahang Mohd Fadzli Ramly berkata, walaupun menghormati hak sekutunya untuk membuat usul berkenaan, pihaknya tetap mahu turut meletakkan calon di kerusi Parlimen Temerloh sebagai wakil PH dan kerajaan perpaduan pada PRU16.
Menurutnya, kawasan itu kerusi tradisi Amanah yang pernah dimenanginya pada PRU14 sebelum tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.