Cadangan Fadhli mencerminkan keyakinan, parti kecil PN akan terpaksa pilih

Cadangan Fadhli mencerminkan keyakinan, parti kecil PN akan terpaksa pilih

Jentera PAS lebih besar dan kukuh berbanding Bersatu, kata penganalisis.

Perikatan Nasional
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari sahut video Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dengan cadangan supaya bergerak berasingan.
PETALING JAYA:
Cadangan Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari supaya Bersatu bergerak berasingan pada pilihan raya akan datang mencerminkan keyakinan beliau kepada kekuatan PAS, menurut penganalisis.

Cadangan Fadhli menyusuli video ceramah Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali meminta ‘pihak tertentu’ agar ‘buka mata, buka telinga, jalan pekak’ terhadap keupayaan Bersatu.

“PAS tidak mempunyai masalah untuk bergerak secara bersendirian kerana kekuatan akar umbi dan jenteranya,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Bagi parti-parti lain seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), mereka mungkin perlu membuat pilihan sekiranya perpecahan PAS dan Bersatu menjadi realiti.”

Meskipun jentera Bersatu dengan keahlian sekitar setengah juta orang tidak boleh diremehkan, Syaza berkata jentera PAS lebih besar dan kukuh.

“Dalam konteks semasa, tidak mustahil PAS juga sedang membuat persiapan untuk bekerjasama dengan kem yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin,” tambahnya, merujuk kepada kelompok yang menyokong bekas timbalan presiden Bersatu yang dipecat, susulan kemelut dengan Presiden Muhyiddin Yassin.

Seandainya Gerakan dan MIPP perlu memilih, Syaza berkata lebih masuk akal untuk dua parti itu bekerjasama dengan Bersatu “dalam kerangka Ikatan Prihatin Rakyat (IPR)”.

“Platform itu dilihat lebih inklusif dan berpotensi menarik sokongan yang lebih pelbagai,” katanya.

Dipimpin oleh Muhyiddin, IPR menghimpunkan 11 parti pembangkang termasuk PAS, Bersatu, Gerakan, Muda, Berjasa, Pejuang dan Putra. Parti lain ialah Parti Kemajuan Malaysia (MAP), MIPP, Parti Perikatan India Muslim Nasional, dan Urimai.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa kenyataan ‘buka mata, buka telinga, jangan pekak’ bukan ditujukan kepada PAS.

Katanya kepada FMT, kenyataan Azmin ditujukan kepada ‘pihak tertentu’ yang didakwa gagal mendengar penjelasan pimpinan parti.

Kebetulan, pada 22 Mei lalu, Presiden Hadi Awang mendakwa Bersatu menuntut jumlah calon pada PRK dan PRN tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk berkempen.

Felo Majlis Professor Negara Azmi Hassan bagaimanapun meramalkan “perkara mengata-ngata” ini akan berterusan jikalau kedua-dua parti masih dalam Perikatan Nasional (PN).

“Status quo itu adalah menyukarkan,” katanya, dengan kepercayaan bahawa Gerakan dan MIPP tidak akan bersetuju untuk mengeluarkan mana-mana parti daripada PN.

Sementara itu, PAS dikatakan sedang membuat persediaan bagi kemungkinan PN tanpa Bersatu, menurut Azmi.

“PAS dikatakan bersedia bahawa dalam Perikatan Nasional tidak ada lagi Bersatu dan akan dimasukkan parti-parti kecil yang lain, ini termasuk parti yang menyokong Hamzah dan kumpulannya,” katanya.

PAS dikatakan sedang mengkaji hubungan dengan Bersatu dalam PN, menyusuli amaran Hadi kepada parti bahawa kesabaran partinya ‘ada batas’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.