Bidasan Azmin bukan ditujukan kepada PAS, kata Tun Faisal

Bidasan Azmin bukan ditujukan kepada PAS, kata Tun Faisal

Ketua Penerangan Bersatu berkata, kenyataan itu sebaliknya rujuk pihak tertentu yang sebar tafsiran keputusan MT yang tak tepat.

Tun Faisal Ismail
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz tidak anggap kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali malam tadi merujuk PAS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berpendapat kenyataan Azmin Ali yang didakwa menyentuh isu dalaman Perikatan Nasional (PN) bukan ditujukan kepada PAS.

Sebaliknya, katanya, kenyataan setiausaha agung Bersatu itu lebih merujuk kepada pihak tertentu yang didakwa gagal mendengar penjelasan pimpinan parti serta menyebarkan tafsiran keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN yang tidak tepat.

“Saya tidak fikir ia ditujukan kepada PAS. Mungkin kepada individu-individu tertentu yang sengaja tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Bersatu, serta gagal menyampaikan maklumat yang tepat mengenai keputusan-keputusan yang dibuat dalam MT PN.

“Ada juga yang menuduh dan memfitnah Bersatu dengan dakwaan yang berat, termasuk menggunakan perkataan tidak sopan seperti ‘berambus’ dan tidak amanah dalam melaksanakan janji-janji yang telah dibuat. Namun, ia bukan merujuk kepada PAS,” katanya kepada FMT.

Terdahulu Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan di pentas pilihan raya, susulan pertikaian mengenai kekuatan jentera parti dalam PN.

Beliau berkata, tiada harapan untuk kerjasama harmoni jika kenyataan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera disifatkan sebagai pandangan yang tidak peka.

Fadhli merujuk penularan video ceramah Azmin di Melaka malam tadi yang meminta pihak-pihak tertentu agar ‘buka mata, buka telinga, jangan pekak’ terhadap keupayaan Bersatu.

Beliau turut mengaitkan kebimbangannya dengan tindakan Bersatu dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan, yang menurutnya menimbulkan persoalan sama ada parti itu boleh membuat pertimbangan sendiri dalam pembentukan kerajaan persekutuan selepas PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.