Polis cari wanita pukul, tepuk kepala bayi dalam video tular

Polis cari wanita pukul, tepuk kepala bayi dalam video tular

Perbuatan wanita yang dipercayai pengasuh taska di Skudai itu dirakam dalam video tular di media sosial sejak semalam.

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita dilihat mengasari seorang bayi di sebuah taska di Skudai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis sedang mengesan seorang wanita dirakam mengasari seorang bayi dalam video tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi video seminit lapan saat itu, wanita yang dipercayai pengasuh sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Skudai dilihat memukul bayi sedang menangis dengan menepuk kepalanya.

Dia juga dilihat meniup muka bayi berkenaan hingga mengalami kesukaran bernafas.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, mengesahkan laporan polis diterima berhubung kes berkenaan.

“Satu laporan polis dibuat orang awam yang menerima satu video di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

“Hasil soal siasat mendapati kejadian itu berlaku di sebuah taska di kawasan Mutiara Rini,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, polis masih mengesan suspek bagi tujuan siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.