Jatuh pada ketinggian 8,000m, pengarah APM Kedah maut mendaki Everest

Jatuh pada ketinggian 8,000m, pengarah APM Kedah maut mendaki Everest

Awang Askandar Ampuan Yaacub dilaporkan sedang melakukan pendakian dan memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak Everest.

Pengarah APM Kedah, Awang Askandar meninggal dunia tengah hari waktu Malaysia selepas terjatuh ketika mendaki Everest, pada ketinggian 8,000m dari aras laut. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest, Himalaya.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed mengesahkan perkara itu selepas menerima makluman daripada Chef De Mission misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Salleh Mohd Nor.

“Semoga Allah terima segala amalan arwah dan mengangkat darjatnya di sisi Allah, semoga pemergian arwah menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia.

“Semoga arwah dilindungi dari seksa kubur dan semoga roh arwah ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya menurut Bernama.

Misi bermula awal April lepas turut disertai antaranya ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak, Muhammad Hawari Hashim dan Vincent Tiong Ling Yang.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan, Awang Askandar meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada ketinggian 8,000m dari aras laut.

Ketua Misi ME 2023, Azim berkata ketika kejadian, Allahyarham bersama Muhammad Hawari sedang melakukan pendakian dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Katanya, selepas jatuh, Allahyarham dibawa ke kem empat dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan dan meninggal dunia pagi tadi.

“Jenazah dibawa turun sehingga ke kem dua, esok untuk diterbangkan ke hospital dengan helikopter namun, bergantung kepada cuaca.

“Kejadian sudah dimaklum kepada Kedutaan Malaysia di Nepal dan keluarga Allahyarham juga sudah dimaklumkan mengenai insiden.

“Pihak kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal bagi menguruskan jenazah,” katanya.

Media tempatan Nepal melaporkan Allahyarham adalah warga asing ke-9 meninggal dunia bagi musim pendakian tahun ini termasuk malim gunung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.