
Namun, beliau menasihatkan Muhyiddin supaya membaca kenyataan mengenai perkara itu secara lengkap sebelum mengambil tindakan.
“Baca kenyataan dengan lengkap baru ambil tindakan. Tapi kalau dia nak bawa terus, silakan.
“Saya tak akan keluarkan kenyataan sekiranya tiada asas,” katanya selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Semalam, Muhyiddin berkata, pihaknya sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang berhubung tuduhan gabungan itu menerima sumbangan daripada dana syarikat judi, susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati “tiada bukti” perkara itu berlaku.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, tampil memberi pencerahan susulan dengan menafikan pernah menyatakan SPRM menggugurkan siasatan ke atas dakwaan PN menerima dana daripada syarikat judi untuk membiayai kempen PRU 2022.
“Saya ingin menegaskan jawapan yang saya berikan dalam Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan apa-apa siasatan berkenaan dakwaan berhubung perkara ini telah dihentikan atau digugurkan.
“Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang diperoleh setakat ini bersifat umum,” katanya dalam kenyataan.
Pada 5 Dis tahun lalu, media melaporkan Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.