Kertas siasatan kes 3 maut dirempuh pemandu mabuk akan dilengkapkan segera

Kertas siasatan kes 3 maut dirempuh pemandu mabuk akan dilengkapkan segera

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek berusia 26 tahun yang patah bahu itu akan didakwa dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian semalam, sebuah kenderaan dipercayai dipandu lelaki mabuk merempuh mati tiga penunggang motosikal, selain mengakibatkan tiga lagi cedera. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan membunuh tiga penunggang motosikal di Kilometer 19.6 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan di Kota Damansara di sini, semalam dengan secepat mungkin.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata suspek berusia 26 tahun yang mengalami patah bahu dan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kita sekarang dalam proses siapkan kertas siasatan dan akan tuduh dalam masa terdekat. Setakat ini berdasarkan hasil ujian kita boleh sahkan kandungan alkohol dalam tubuh suspek (ketika kejadian) berada jauh lebih tinggi daripada kadar dibenarkan.

“Cuaca masa itu pun hujan dan jalan menurun. Pemandu berkenaan dipercayai melanggar pembahagi jalan dahulu sebelum merempuh motosikal terbabit,” katanya, menurut Harian Metro.

Semalam dilaporkan tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi parah selepas dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Kilometer 19.6 di NKVE.

Kejadian 5.59 pagi itu berlaku ketika cuaca hujan dan semua penunggang sedang berteduh di bawah jejambat.

Kemalangan itu mengakibatkan tiga maut dan tiga parah dengan semua mereka berusia antara 19 hingga 37 tahun.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.