
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta semua projek diluluskan itu mesti berjalan dalam tempoh masa tahun kewangan itu.
“Perbincangan kami di peringkat Jemaah Menteri, gesaan perdana menteri kepada semua kementerian apabila peruntukan diluluskan (supaya) memastikan projek itu berjalan dengan sempurna,” katanya.
“Perdana menteri minta kementerian-kementerian berkenaan, setiap kali mesyuarat Jemaah Menteri, kami akan ada satu perbincangan khusus untuk memastikan semua yang telah diumum diluluskan mesti berjalan dalam tempoh masa tahun kewangan yang berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penerangan projek bina baharu bengkel mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) SK Jabi di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang membuat lawatan ke sekolah itu.
Pada 29 April lepas, media melaporkan bahawa kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk Kedah dan perdana menteri dipetik sebagai berkata, sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan tahun ini untuk pembangunan Kedah.
Saifuddin berkata, mesyuarat Jemaah Menteri setiap minggu tidak pernah meninggalkan perbincangan berhubung proses memudah cara dan mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan kerajaan, termasuk dari segi mengelak kerenah birokrasi.