Guru bahasa Melayu, Inggeris paling ramai mohon bersara awal

Guru bahasa Melayu, Inggeris paling ramai mohon bersara awal

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata lebih 6,000 pegawai di perkhidmatan pendidikan memohon persaraan pilihan sejak dua tahun lalu.

Hampir 2,900 guru Bahasa Malaysia dan lebih 1,100 guru bahasa Inggeris memilih untuk bersara awal sejak dua tahun lalu, kata Kementerian Pendidikan.
PETALING JAYA:
Guru Bahasa Malaysia dan Inggeris paling ramai memilih bersara awal dalam perkhidmatan pendidikan sejak dua tahun lalu, kata Kementerian Pendidikan.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata lebih 6,000 pegawai di perkhidmatan pendidikan memohon persaraan pilihan.

Persaraan pilihan dibuka untuk mereka yang berusia 50 tahun dalam sektor kerajaan yang dilantik selepas 1991. Umur bersara wajib pula antara 55 hingga 60 tahun.

“Berdasarkan rekod bilangan pegawai perkhidmatan pendidikan yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi dari 2021 hingga 2022 adalah seperti berikut:

“Bahasa Malaysia (2,862), Inggeris (1,146), matematik (1,015), pendidikan Islam (755), sains (629) dan sejarah (483),” kata Fadhlina.

Fadhlina menjawab soalan Ahli Parlimen Zulkifli Ismail yang bertanyakan statistik permohonan bersara pilihan dalam kalangan pegawai perkhidmatan pendidikan mengikut bidang kepakaran dari 2021 hingga 2023.

Pegawai perkhidmatan pendidikan termasuk guru di sekolah kerajaan dan pensyarah di politeknik dan kolej komuniti.

Pada April lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia berkata lebih ramai guru memilih untuk bersara awal, dengan lebih 10,000 memohon setiap tahun untuk bersara pilihan sejak beberapa tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.