
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata antara kes yang mencatatkan peningkatan ialah jenayah seksual dalam kalangan pelajar bawah 18 tahun dan keganasan rumah tangga.
“Bagaimanapun tidak perlu diresahkan kerana peningkatan ini masih terkawal dan jumlah jenayah ini masih di bawah paras ditetapkan oleh Pelan Strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media selepas Program Kesedaran Autisme PDRM di IPK Selangor.
Hussein berkata, dalam usaha mengekang peningkatan kes jenayah di negeri itu, pihaknya akan meningkatkan jumlah rondaan serta kempen di sekolah kawasan bersasar dan titik panas selain mengukuhkan jaringan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan swasta.
Ketika ditanya perkara yang mendorong kanak-kanak dan pelajar terjerumus dalam jenayah seksual, beliau berkata, pihaknya percaya pendedahan dan juga akses berlebihan kepada sosial media antara punca utama selain kurang kawalan dan kesedaran daripada ibu bapa.