Beri kuasa Sabah, Sarawak, lantik wakil LHDN, kerajaan digesa

Beri kuasa Sabah, Sarawak, lantik wakil LHDN, kerajaan digesa

Ahli Parlimen Warisan berkata negeri Borneo tidak sepatutnya perlu mencadangkan nama calon Lembaga LHDN kepada Putrajaya.

Pada Oktober, Jemaah Menteri bersetuju meminda Akta LHDN untuk membenarkan wakil Sabah dan Sarawak menganggotai lembagai berkenaan.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen Warisan menggesa kerajaan memberikan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak bagi melantik wakil mereka ke Lembaga Hasil Dalam Negeri secara terus.

Buat masa ini dua negeri berkenaan mencadangkan calon masing-masing bagi jawatan itu kepada kementerian kewangan.

Isnaraissah Munirah Majlis (Warisan-Kota Belud) memberitahu Dewan Rakyat bahawa kuasa diberikan kepada kementerian kewangan tidak dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Ini baharu dan tidak seiring laporan IGC. Negeri Borneo patut mempunyai kuasa melantik perunding sendiri bagi mewakili mereka dalam lembaga pengarah LHDN,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) 2023.

RUU itu bertujuan meminda Seksyen 6 Akta LHDN 1995 untuk membolehkan pelantikan wakil dari Sabah dan Sarawak ke lembaga berkenaan oleh kementerian kewangan.

Dua negeri Malaysia Timur itu menamakan calon wakil ke lembaga berkenaan pada Julai 2022. Jemaah menteri bersetuju meminda Akta LHDN tiga bulan kemudian bagi membolehkan wakil berkenaan menganggotai lembaga itu.

Sementara itu, menjawab isu dibangkitkan, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan menyelar Ahli Parlimen yang mengkritik RUU berkenaan di Dewan Rakyat tetapi gagal menghadiri taklimat berhubung isu berkenaan pada Isnin.

“Bukan kita tak adakan ‘engagement’ dengan Ahli-ahli Parlimen, sepatutnya mereka datanglah bila ada taklimat,” katanya dengan menambah beliau tidak melihat Isnaraissah dan Ahli Parlimen lain yang membahaskan RUU berkenaan pada sesi berkenaan.

Isnaraissah kemudian menjelaskan beliau menghadiri taklimat berkenaan walaupun terlewat menyebabkan Ahmad menjawab beliau sepatutnya datang tepat pada masa sekiranya menganggap RUU itu penting.

Undian RUU berkenaan telah ditangguhkan sehingga sidang Dewan Rakyat seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.