
Beliau berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada parti itu kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.
“Dalam mesyuarat pimpinan pusat PKR akan datang mungkin ada perbincangan di mana tindakan terhadap Zuraida telah diambil dan ada keputusan sebegini, bukan beliau sahaja yang melompat parti waktu itu tetapi ada sejumlah yang lain.
“Maka PKR mungkin meneruskan tindakan undang-undang kepada mereka yang telah mengkhianati parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis anugerah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Lembah Pantai.
Hakim Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak sah dan mengikat malah mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000.
Mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Fahmi yang juga menteri komunikasi dan digital berkata ia juga membuktikan pendirian PKR, tindakan lompat parti adalah tidak berprinsip walaupun Zuraida melanggar kontrak itu semasa negara belum melaksanakan Akta Anti Lompat Parti.
“Sebab itu PKR mengenakan bon kepada beliau (Zuraida) dan kepada semua yang bertanding (pilihan raya) atas tiket PKR,” katanya dan mengingatkan semua ahli PKR tidak sesekali mengkhianati parti itu.
Pada Februari 2020, seramai 11 Ahli Parlimen mewakili PKR termasuk Zuraida mengisytiharkan keluar parti serta Pakatan Harapan (PH) dan antara yang turut keluar ialah bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.