Kerajaan cadang iktiraf SKM setaraf SPM, kata Zahid

Kerajaan cadang iktiraf SKM setaraf SPM, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata kertas dasar mengenai cadangan itu akan dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu lagi.

Zahid Hamidi berkata, pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) agar setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara perubahan dasar dirancang kerajaan bagi pemerkasaan TVET. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan bercadang mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) agar setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga pengerusi Majlis TVET Negara, berkata kertas dasar mengenai cadangan itu akan dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu lagi.

“Mereka (lepasan TVET) akan dapat masuk ke pasaran sama ada swasta atau kerajaan berdasarkan sijil-sijil (SKM) yang akan dikeluarkan itu,” katanya menurut Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Portal TVET Madani di Putrajaya.

Zahid yang sebelum itu mempengerusi Mesyuarat Majlis TVET (MTVET) Negara, berkata terdapat beberapa lagi perubahan dasar dirancang kerajaan dalam memastikan sektor TVET terus berkembang.

“Kita tidak lagi berfikir secara silo tetapi melakukan koordinasi sebaik-baiknya dengan 12 kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya tidak ada yang tertinggal dalam merebut peluang pekerjaan ini,” katanya.

Beliau berkata, pemerkasaan TVET adalah bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan merapatkan jurang pengangguran di negara ini.

“Telah tiba masanya untuk gunakan tenaga tempatan, berikan latihan sewajarnya mengikut kehendak pasaran yang ada dan minat peserta itu,” katanya.

Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig, Zahid berkata, beliau telah mengadakan perbincangan tidak formal dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai penubuhan suruhanjaya itu dan Kertas Jemaah Menteri bagi mewujudkan suruhanjaya itu juga sedang disediakan.

Zahid yang juga presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2023 pada 9 Jun, menyarankan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig untuk mengawal selia ekosistem industri gig di negara ini.

Terdahulu, Zahid menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara kerajaan dengan GLC dan syarikat swasta antaranya Carsome Academy Sdn Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Memorandum kerjasama itu akan menjadi platform kerjasama meliputi semua Institusi Latihan Kemahiran Awam di bawah 12 kementerian dengan GLC dan syarikat swasta berdasarkan kesesuaian bidang dan skop yang dipersetujui secara bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.