
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata Umno perlu membuat ‘perubahan drastik’ untuk menunjukkan kepada pengundi Melayu bahawa ia benar-benar mahu menjadi parti yang bersih dan berintegriti.
“Pengundi Umno yang beralih kepada PN pada PRU15 lalu akan kembali ke Umno jika parti itu dilihat sebagai bersih dan berintegriti, tidak seperti sekarang,” katanya kepada FMT.
“Kita hanya boleh lihat peralihan undi Melayu dari PN ke PH-BN jika ada reformasi besar dalam Umno, bermula dengan peletakan jawatan Zahid Hamidi sebagai presiden.”
Sementara itu, Noor Nirwandy Mat Noordin percaya BN-PH akan meraih sokongan pengundi Melayu yang mengutamakan kestabilan politik, namun bergantung kepada penerimaan masyarakat terhadap rekonsiliasi politik BN-PH.
“Kerajaan PH-BN berkemungkinan untuk mendapat undi apabila kestabilan politik akan dilihat sebagai salah satu isu utama,” katanya.
Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berpandangan perbalahan antara kerajaan negeri dan pusat berpotensi memberi kelebihan kepada BN-PH sekiranya ia menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan agenda PN yang memimpin pentadbiran Kedah.
“Dengan kekuatan kerajaan perpaduan, persefahaman yang baik, dan tawaran yang akan diberikan oleh BN-PH ini…saya yakin peralihan adalah realistik,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar dilaporkan yakin BN-PH berpotensi merampas Kedah daripada PN sekiranya berlaku peralihan 10% undi pada PRN akan datang.