MAB dapat injuksi halang AirAsia jual tiket dalam SuperApp

MAB dapat injuksi halang AirAsia jual tiket dalam SuperApp

Perintah injuksi sementara akan berkuat kuasa sehingga pelupusan tuntutan mahkamah Malaysia Airlines dan Firefly terhadap AirAsia.

Malaysia Airlines dan anak syarikatnya, Firefly, memfailkan saman terhadap AirAsia tahun lalu, mendakwa berlakunya pelanggaran tanda dagang, kelirupaan, salah nyata perdagangan, dan campur tangan menyalahi undang-undang dagang.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Malaysia Airlines Bhd (MAB) untuk mendapatkan injuksi sementara terhadap AirAsia untuk menghentikan penjualan tiket penerbangan Malaysia Airlines dalam platform syarikat itu, SuperApp.

Permohonan injuksi itu dikemukakan Malaysian Airlines Bhd (MAB) dan anak syarikatnya, Firefly.

Syarikat itu memfailkan saman terhadap AirAsia tahun lalu, mendakwa syarikat itu melanggar tanda dagang, salah nyata perdagangan, dan campur tangan menyalahi undang-undang dagang.

Perintah injuksi akan berkuat kuasa sehingga pelupusan tuntutan mahkamah.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Azlan Sulaiman bersetuju MAB mempunyai alasan kukuh untuk mewajarkan pemberian injuksi berkenaan.

Katanya, perniagaan AirAsia menjual tiket dalam SuperApp tidak akan menjejaskan syarikat itu mengambil kira pengendali tambang murah itu masih boleh menjual tiket melibatkan syarikat penerbangan lain.

AirAsia bagaimanapun membantah permohonan MAB, sambil menyatakan beberapa laman sesawang lain termasuk Expedia, Agoda, Skyscanner, dan Traveloka, juga menjual tiket penerbangan Malaysia Airlines.

“Hanya kerana tiket melibatkan plaintif (MAB, Firefly) dijual dalam laman sesawang lain bukan alasan kepada defendan (AirAsia).

“Isu di sini sama ada tindakan defendan menjurus kepada pelanggaran tanda dagang, kelirupaan, perdagangan dan campur tangan menyalahi undang-undang dagang, dan ia bukan alasan pihak lain mungkin melakukannya juga.

“Fakta dan dapatan kes ini, imbangan kemudahan terletak pada injuksi yang dipohon,” kata Azlan dalam penghakimannya pada Khamis.

Mahkamah juga mengarahkan AirAsia membayar MAB kos RM20,000.

Pada April, Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group Bhd Izham Ismail berkata ia telah memfailkan injunksi untuk menghentikan syarikat penerbangan tambang murah itu daripada menjual tiket Malaysia Airlines pada aplikasinya.

Izham berkata kumpulan itu tidak dapat mencapai persetujuan komersial sebelum ini, namun SuperApp “terus menjual inventori kami”.

Isu penjualan tiket penerbangan Malaysia Airlines dalam SuperApp dibangkitkan bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong.

Wee mendakwa, SuperApp mengenakan bayaran tiket dua hala Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Tawau pada harga RM3,138 ketika sambutan Hari Raya.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, ketika memberi maklum balas, dengan mempersoal mengapa Wee menyemak harga tiket Malaysia Airlines dalam SuperApp, berbanding harga ditawar dalam aplikasi atau laman sesawang syarikat penerbangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.