PAS mahu negeri terlibat PRN ikut Kelantan sedia bas percuma

PAS mahu negeri terlibat PRN ikut Kelantan sedia bas percuma

Penyediaan bas percuma seperti dilakukan Kelantan sewajarnya menjadi ikutan negeri lain sekali gus meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya 12 Ogos ini.
PETALING JAYA:
PAS mencadangkan enam negeri terbabit PRN menyediakan bas percuma kepada pelajar supaya dapat pulang mengundi 12 Ogos ini.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyediaan bas percuma seperti dilakukan kerajaan Kelantan sewajarnya menjadi ikutan negeri lain sekali gus meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Katanya, ia bukan sesuatu berunsurkan sogokan, sebaliknya ia disediakan terbuka kepada semua anak Kelantan tanpa mengira parti kerana mahu membantu mereka menjalankan tanggungjawab mengundi.

“Pada masa sama, kerajaan seharusnya mengawal peningkatan harga tambang penerbangan yang didakwa dijual pada harga lebih mahal berlipat kali ganda menjelang hari mengundi.

“Perantau balik kerana mahu mengundi serta menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat, tetapi bila sampai sahaja tarikh penting atau perayaan, saya difahamkan harga tiket pula naik mendadak dan menjadi lebih mahal.

“Saya mencadangkan kerajaan memantau serta mengekalkan harga tiket supaya ia tidak membebankan rakyat,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau ditemui selepas ceramah mega “pakat pertahan” di Kota Bharu malam tadi.

Terdahulu, Kelantan mengumumkan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi untuk pulang mengundi pada PRN.

Menteri Besar, Ahmad Yakob, berkata perkhidmatan itu bagi memudahkan pelajar di luar Kelantan pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.