Kuota ahli Dewan Negara boleh ditambah, kata speaker

Kuota ahli Dewan Negara boleh ditambah, kata speaker

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jika terdapat keperluan, jumlah kuota boleh ditambah daripada dua kepada tiga orang bagi setiap negeri.

Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan dua wakil boleh dipilih dari setiap negeri ke Dewan Negara tetapi ia boleh ditambah.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan boleh menambah jumlah kuota ahli Dewan Negara yang dipilih bagi setiap negeri daripada dua kepada tiga orang, jika terdapat keperluan, kata Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata di bawah Perkara 45 (1) (a), Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan dua wakil boleh dipilih dari negeri masing-masing untuk ke Dewan Negara, namun jumlah itu boleh ditambah.

“Bergantung kepada kerajaanlah… sekarang kita ada dua orang diundi menjadikan mereka yang dipilih seramai 26, manakala yang dilantik Yang di-Pertuan Agong seramai 44 orang.

“…jumlah ini boleh ditambah seorang lagi…macam House of Lords di England, United Kingdom pada satu-satu masa ada 1,800 orang (Senator).. tiada masalah kalau ditambah,” katanya kepada selepas Majlis Interaksi bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Siri 1 2023, di Bangunan Parlimen, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan beberapa pihak yang mahu kuota Ahli Dewan Negara yang dipilih daripada negeri ditambah, sebagai usaha memperkasakan fungsi Dewan Negara.

Hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Ketua Polis Negara Razarudin Husain serta timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay.

Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-19 pada 19 Jun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.