Mahu ‘bebas P Pinang daripada LGE’, bekas ahli DAP tanding Perai

Mahu ‘bebas P Pinang daripada LGE’, bekas ahli DAP tanding Perai

David Marshel mendakwa Pengerusi DAP Lim Guan Eng mahu menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Bekas ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Marshel (tengah) memegang kertas penamaan bagi DUN Perai pada sidang media.
PERAI:
Bekas ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Marshel akan bertanding sebagai calon bebas di DUN Perai, namun menyatakan sokongannya kepada Chow Kon Yeow untuk kekal selaku ketua menteri Pulau Pinang.

Marshel, yang keluar DAP semalam berkata, sebab utama beliau bertindak demikian untuk memastikan Chow kekal memegang jawatan tertinggi negeri.

Beliau mendakwa, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mahu menjadi ketua menteri, walaupun berulang kali menyatakan sokongannya kepada Chow.

“Saya akan bertanding sebagai calon bebas dan ‘tagline’ kempen saya ialah ‘Bebaskan Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng’,” katanya pada sidang media.

FMT menghubungi Lim untuk mendapatkan komen.

Marshel menjangkakan Lim akan bertanding merebut jawatan ketua DAP Pulau Pinang apabila negeri itu mengadakan pemilihan tahun depan.

Dakwanya, selepas pemilihan DAP Pulau Pinang, Lim kemungkinan besar akan membawa usul ke DUN untuk meminda had jawatan ketua menteri daripada dua kepada empat penggal.

Lim memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.

Sementara itu, Marshel mendakwa DAP tidak mencalonkannya untuk PRN kerana beliau sehaluan dengan Chow, menafikan dakwaan ia disebabkan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya sebelum ini.

Beliau berkata, laporan itu dibuat terhadapnya kerana dia aktif  memperjuangkan pelbagai perkara.

P Ramasamy mewakili Perai tiga penggal berturut-turut sejak 2008. Bagaimanapun, DAP memutuskan tidak mencalonkannya untuk mempertahankan kerusi itu.

Sebaliknya, DAP menamakan S Sundarajoo, bekas ketua pegawai operasi Ecoworld Development Sdn Bhd yang berkecimpung dalam industri hartanah selama lebih 31 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.