
SHAH ALAM: Ketua Wanita Bersatu Rina Harun berkata tidak timbul isu beliau sukar meraih keyakinan pengundi di DUN Batu Tiga, yang dipersoalkan susulan kekerapannya berpindah kawasan sejak PRU14.
Bekas menteri di era pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob itu mula bertanding di Titiwangsa.
Bagaimanapun pada PRU15 beliau tewas di Parlimen Sepang dan PRN 12 Ogos ini dipertaruhkan Perikatan Nasional (PN) di Batu Tiga.
Kritikan terhadap pencalonan Rina turut datang daripada bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Muhammad Faiz Na’aman yang menyifatkan pemilihan calon PN daripada parti itu sebagai “lemah dan bermuslihat”.
Mengulas bagaimana beliau hendak menambat keyakinan pengundi dengan kekerapannya berpindah kawasan, Rina berkata dirinya berpegang kepada tawaran PN untuk Selangor diumumkan Muhyiddin Jumaat lalu.
“Keyakinan daripada rakyat dan pengundi itu daripada manifesto dibawa Muhyiddin. Apa yang kita janji dikotakan dan tidak memainkan perasaan rakyat,” katanya kepada FMT.
Rina berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen (Muda).
Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit” yang antaranya menjanjikan elaun khas tahunan berjumlah dua hingga tiga bulan gaji kepada penjawat awam negeri itu.
Ia turut menawarkan bantuan RM400 sebulan bagi pembelian barangan asas kepada 65,000 keluarga memerlukan, elaun bulanan imam (RM1,700), bilal (RM800), siak (RM600) serta nazir (RM600) dan air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada isi rumah berpendapatan bawah RM15,000.
Rina berkata, meskipun Batu Tiga boleh dikatakan sudah matang dari segi pembangunan namun realitinya masih berlaku ketidakseimbangan antara taraf sosial dan ekonomi, pendidikan dan infrastruktur.
Justeru menurutnya, wujud keperluan merapatkan jurang itu agar tiada rakyat tercicir.