
Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata semua suspek yang berusia antara 29 hingga 43 tahun ditahan pada 2 petang di Plaza Tol Sungai Buloh.
Beliau berkata polis turut merampas sejumlah barangan daripada mereka antaranya satu kotak bertulis Versace mengandungi rantai, beg tangan jenama Coach, sebotol minyak wangi jenama Calvin Klein dan sebatang spanar ‘Gaston’ berwarna hitam.
“Turut dirampas dua surat pajak gadai, pemutar skru, set kunci Allen dan tiga kunci Allen yang diubah suai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata penahanan dilakukan susulan polis menerima laporan berkaitan satu kejadian pecah rumah di kawasan Damansara Damai, Petaling Jaya, pada 12.28 tengah hari, 30 Julai lepas.
Menurut Fakhruddin, pengadu di dalam laporannya mengatakan semasa tiba di rumah pada 11.30 pagi dia mendapati pintu jeriji rumahnya terbuka dan telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenali sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM2,700.
Katanya semakan mendapati semua suspek memiliki rekod kesalahan jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah manakala seorang daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
“Semua suspek direman seminggu bermula 2 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya.