Aminuddin akan dilantik MB Negeri Sembilan semula, kata sumber

Aminuddin akan dilantik MB Negeri Sembilan semula, kata sumber

Ini menyusul spekulasi siapa akan memegang jawatan itu selepas PH-BN menang majoriti dua pertiga pada PRN Sabtu lalu.

Adun Sikamat Aminuddin Harun ialah menteri besar Negeri Sembilan sebelum pembubaran DUN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Adun Sikamat, Aminuddin Harun dijangka dilantik semula menteri besar Negeri Sembilan, susulan spekulasi siapa akan memegang jawatan tertinggi negeri itu.

Sumber Pakatan Harapan Negeri Sembilan mendakwa perkara itu selesai dengan pelantikan Aminuddin disahkan semalam.

“Semua Adun sedang menuju ke istana (untuk upacara angkat sumpah),” kata sumber itu kepada FMT.

Semalam, Aminuddin dilaporkan berkata, menteri besar seterusnya akan mengangkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 3 petang Isnin. Tetapi, naib presiden PKR itu berkata, calon untuk jawatan itu belum dimuktamadkan.

Terdapat spekulasi bahawa Aminuddin akan digantikan untuk jawatan tertinggi negeri itu.

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berkata, PH perlu memberikan jawatan itu kepada ketua Barisan Nasional negeri, Jalaluddin Alias.

PH dan BN akan membentuk kerajaan negeri baharu selepas memenangi majoriti dua pertiga di 36 kerusi DUN Sabtu lalu.

PH menang 17 kerusi (DAP 11, PKR lima dan Amanah satu) manakala BN menguasai 14 kerusi, semuanya melalui Umno.

Perikatan Nasional memenangi baki lima kerusi menerusi PAS (tiga) dan Bersatu (dua). Ia tidak memenangi sebarang kerusi sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.