Saya tahu tuduhan terhadap saya bermotif politik, kata Muhyiddin

Saya tahu tuduhan terhadap saya bermotif politik, kata Muhyiddin

Bekas perdana menteri itu berkata, sudah jelas kepada khalayak umum apa yang dibuat pihak tertentu untuk 'menganiaya' beliau.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Muhyiddin Yassin membatalkan empat pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin berkata sejak awal beliau tahu pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya bermotifkan politik.

“Saya sebenarnya tidak melakukan apa-apa kesalahan pun dari sudut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun undang-undang lain dan ini terbukti dengan apa yang diputuskan (mahkamah).

“Sudah jelas kepada khalayak umum apa yang dibuat pihak tertentu untuk menganiaya saya,” katanya dalam sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya membatalkan empat pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Hakim Jamil Hussin berkata, pertuduhan itu tidak mendedahkan dengan jelas sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang dan tidak cukup jelas untuk membolehkan Muhyiddin, presiden Bersatu, membuat pembelaannya.

Katanya, pertuduhan itu kekurangan butiran mencukupi seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 19 April lalu, Muhyiddin memohon mahkamah membatalkan pertuduhan itu dan membebaskannya. Beliau turut memohon semua prosiding di Mahkamah Sesyen, tempat beliau didakwa, ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan pembatalan itu.

Peguam utama Muhyiddin, Hisyam Teh Poh Teik, berkata pasukan pembelaan yakin semua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) terhadap anak guam mereka akan ditolak.

“Dalam beberapa hari ini, pasukan peguam akan berjumpa dan membincangkan baki tiga pertuduhan. Paling penting, pertuduhan utama sudah dibatalkan pagi ini.”

Beliau menyifatkan keputusan Jamil adil dan saksama kerana pertuduhan itu “teruk di sisi undang-undang” dan “sangat cacat”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.