
Panel tiga hakim terdiri Hadhariah Syed Ismail, Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah turut memerintahkan Zarmayade Abdullah, 46, disebat sebanyak 12 kali.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Hadhariah berkata mahkamah menolak rayuan Zarmayade dan mengekalkan sabitan terhadapnya bagi kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata panel itu mengetepikan hukuman mati yang dijatuhi ke atas Zarmayade oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun.
Mahkamah kemudian mengarahkan Zarmayade menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 April 2017.
Dia didapati bersalah membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada di Kuala Krai, Kelantan, antara 11 pagi dan 3 petang 12 April 2017.
Bekas guru itu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa oleh anaknya yang pulang ke rumah mereka pada sebelah petang.
Pada 22 Dis 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan Zarmayade bersalah dan menjatuhi hukuman mati.
Ini menyebabkan tertuduh membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Peguam Ahmad Nizam Mohamed, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin dan Muhamad Hanis Mohamed Shariff mewakili Zarmayade manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang.