KMJ kesal insiden media dakwa dikasari pegawai pengiring menteri

KMJ kesal insiden media dakwa dikasari pegawai pengiring menteri

Kelab Media Johor berkata dua insiden itu berlaku dalam dua acara kempen parti politik Selasa lalu.

Ceramah pilihan raya diadakan di Taman Anggerik, Pulai, Johor, minggu lalu. Dua wartawan dan seorang jurugambar didakwa dikasari semasa kempen itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kelab Media Johor (KMJ)memandang serius dua insiden melibatkan pengamal media dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri dalam kempen parti politik Selasa lalu.

Pengerusinya, Mohamad Fauzi Ishak, berkata insiden itu menimbulkan kebimbangan mengenai isu keselamatan pengamal media yang membuat liputan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Pada 5 Sept lepas telah berlaku dua insiden melibatkan pengamal media dikasari beberapa pegawai pengiring menteri terbabit dalam dua acara kempen parti politik berasingan di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru.

“Beberapa pegawai pengiring telah menghalang beberapa pengamal media ketika sidang media menteri berkenaan diadakan, antaranya menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media tersebut.

“Pegawai pengiring juga bertindak mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media.

“Suara wartawan wanita menjerit ‘jangan sentuh saya’ turut terakam dalam rakaman sidang media berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seorang jurugambar juga ditolak oleh pegawai pengiring ketika mengambil gambar pada sidang media.

Fauzi menegaskan insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya berharap ia tidak berulang.

“Media seharusnya diberi peluang dan ruang untuk menjalankan tugas sebaiknya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.