Majlis pertahan pengamal media jalan tugas secara sah, profesional

Majlis pertahan pengamal media jalan tugas secara sah, profesional

Majlis Media Malaysia menegaskan kekerasan, pencerobohan atau intimidasi tidak sekali-kali boleh diterima.

reporter media journalist
MMM seru akses wajar dan persekitaran kerja yang selamat bagi petugas media bertauliah.
PETALING JAYA:
Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa semua pihak menghormati pengamal media yang menjalankan tugas secara sah dan profesional, susulan dakwaan petugas dikasari ketika membuat liputan.

MMM menegaskan kekerasan, pencerobohan atau intimidasi tidak sekali-kali boleh diterima.

“Jika mana-mana pihak mempunyai kebimbangan atau aduan berhubung tindakan mana-mana pengamal atau organisasi media, langkah yang wajar ialah mengemukakan perkara itu secara rasmi melalui saluran yang sesuai, bukan mengambil tindakan sendiri,” menurut kenyataan.

Polis membuka kertas siasatan berhubung kekecohan pada suatu konvensyen di Johor Bahru, Ahad, selepas beberapa pengamal media mendakwa dikasari dan dihalang secara agresif oleh ahli skuad keselamatan.

Kelab Media Johor memaklumkan laporan polis dibuat bagi melindungi kebajikan dan hak petugas media.

Mengulas lanjut, MMM mengambil maklum Sekretariat Konvensyen Pakatan Harapan memulakan siasatan dalaman ke atas dakwaan tersebut, dan menggesa siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera.

Ia juga menyeru penganjur acara merentasi semua parti politik, institusi awam, dan entiti swasta supaya memastikan akses sewajarnya serta persekitaran kerja yang selamat bagi petugas media bertauliah.

“Keselamatan dan maruah setiap pengamal media adalah perkara yang dipandang serius. MMM akan terus menegakkan dan mempertahankan hak tersebut tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.