Jalan Umno pulihkan kepercayaan rakyat masih panjang, kata KJ

Jalan Umno pulihkan kepercayaan rakyat masih panjang, kata KJ

Khairy Jamaluddin berkata Umno perlu perkenal semula diri dan tampil dengan idea dan tawaran baharu kepada rakyat.

Khairy Jamaluddin berkata Umno perlu tonjolkan prestasi kerajaan negeri yang diterajui parti itu di Johor, Melaka dan Pahang untuk yakinkan semula rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Umno berdepan jalan yang panjang dan mencabar untuk memulihkan kembali kepercayaan serta sokongan rakyat kepada parti itu.

Khairy berkata usaha untuk mengukuhkan semula parti tidak boleh sekadar bergantung kepada pengakuan kesilapan lalu tetapi perlu tampil dengan idea dan tawaran baharu kepada rakyat.

“Saya kini hanya ahli biasa, tetapi saya mahu lihat Umno menjadi lebih kuat.

“Kita masih ada jalan panjang untuk mengembalikan kepercayaan rakyat. Mengakui kesilapan hanyalah langkah pertama, bukan tiket untuk dipilih semula,” katanya kepada pemberita selepas penutup Konvensyen 80 Tahun Umno di WTCKL.

Beliau mengulas ucapan Presiden Zahid Hamidi yang mahu melihat Umno kembali menjadi parti induk dalam tempoh 20 tahun akan datang selepas mengalami kejatuhan bermula 2018.

Khairy berkata untuk mencapai hasrat itu, Umno perlu memperkenalkan semula dirinya kepada pengundi, khususnya golongan pertengahan yang mungkin telah hilang kepercayaan terhadap parti itu.

“Selepas mengakui kesilapan, kita perlu tampil dengan idea dan tawaran baharu tentang apa yang boleh kita berikan jika diberi mandat semula,” katanya.

Beliau juga berpandangan Umno masih mempunyai kelebihan dari segi pengalaman pentadbiran terutama prestasi kerajaan negeri yang diterajui parti itu di Johor, Melaka dan Pahang.

“Kita boleh bina naratif kestabilan dan prestasi berdasarkan rekod ini untuk yakinkan semula rakyat,” katanya.

Mengenai persiapan menjelang PRU, Khairy berkata baki kira-kira satu setengah tahun sebelum pilihan raya berlangsung perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh momentum parti.

Katanya, Umno juga kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan, termasuk peningkatan penyertaan anak muda sejak pelaksanaan pendaftaran ahli baharu dalam talian.

“Namun kita tidak boleh terlalu selesa. Banyak lagi perlu dilakukan dalam tempoh ini,” katanya.

Khairy juga berkata beliau diminta membantu dalam beberapa perkara tertentu walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.