
Beliau berkata sejarah parti itu bukan sekadar kisah kemenangan, sebaliknya cerminan ketahanan dalam mendepani pelbagai krisis kepimpinan, keyakinan rakyat dan perpecahan dalaman.
“Hakikatnya, hampir setiap 10 tahun atau lebih sedikit, Umno berdepan dengan satu bentuk dilema, putaran krisis setiap dekad,” katanya berucap menutup Konvensyen 80 Tahun Umno di WTCKL.
Setiap kali diuji, jelasnya, Umno tetap bangkit dengan setiap krisis wujud anjakan baharu yang membawa harapan kepada bangsa dan negara.
Beliau mengimbas penubuhan Umno pada 1946 sebagai penyatu pertubuhan Melayu ketika menentang Malayan Union, sebelum parti itu memainkan peranan memulihkan kestabilan negara selepas krisis perkauman.
Di bawah kepimpinan Abdul Razak Hussein, menurutnya, negara disusun semula menerusi pembentukan Barisan Nasional (BN) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), manakala krisis 1987 pula menyaksikan Umno diharamkan sebelum parti itu dibina semula.
Zahid turut menyentuh krisis 1998 yang menguji prinsip dan kesetiaan, kehilangan majoriti pada 2008 serta kekalahan pada 2018 yang disifatkannya antara detik paling getir dalam perjuangan Umno.
Mengimbau kekalahan pada 2018, beliau berkata, bekas perdana menteri, Najib Razak mencuba sebaik mungkin mempertahankan parti dengan bantuan ramai, termasuk dirinya.
“Kalau beliau dapat bersama kita hari ini, alangkah leganya seluruh kepimpinan Umno,” katanya merujuk Najib yang sedang dipenjarakan kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau turut memohon Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan ‘rayuan dan rintihan’ ahli Umno supaya Najib dapat bersama mereka.
Dalam pada itu, jelasnya, walaupun Umno diuji krisis demi krisis, parti itu tidak pernah mati, walaupun ramai mahu melihatnya dikuburkan.
Menurutnya, krisis dilalui itu membentuk ketahanan Umno untuk terus kekal relevan sebagai ‘pendinding umat Melayu’ dalam negara.
Menyentuh harapan bagi fasa 10 tahun seterusnya, Zahid berharap Umno dapat mencipta anjakan baharu untuk mengembalikan dominasinya.
“Umno perlu bergerak daripada sekadar mengurus krisis kepada membina masa depan menerusi tiga agenda besar parti, iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung,” katanya.