Kalau berani pecat semua menteri Umno, kata Akmal

Kalau berani pecat semua menteri Umno, kata Akmal

Ketua Pemuda Umno itu berkata kebelakangan ini ada suara meminta pemimpin Umno dipecat daripada kerajaan.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menegaskan parti itu tidak akan tunduk kepada tekanan pihak lain dan membiarkan prinsipnya tergadai. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menegaskan parti itu tidak akan tunduk kepada tekanan pihak lain, termasuk rakan dalam kerajaan, jika prinsipnya dicabar.

Beliau berkata, kebelakangan ini ada suara meminta pemimpin Umno dipecat daripada kerajaan seperti gesaan Pemuda DAP terhadap Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan yang juga Adun Rantau, susulan krisis pentadbiran di Negeri Sembilan.

Menurutnya, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr N Sathia Prakash turut menyarankan Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail dipecat sebagai exco.

Tegasnya, kenyataan itu seolah-olah menunjukkan Umno boleh diugut.

“Kalau benar berani, jangan pilih seorang dua…pecatlah semua menteri, timbalan dan exco dari Umno. Baru rakyat nampak siapa sebenarnya yang takut kepada prinsip Umno.

“Umno boleh hilang jawatan dan ditekan kawan serta lawan, tetapi Umno tidak akan sesekali biarkan prinsipnya tergadai,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Festival air

Akmal memuji Presiden Umno, Zahid Hamidi berani menyelar penganjuran Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang.

Jelasnya, tindakan itu menunjukkan Umno tetap bersuara apabila ‘garis merah’ perjuangan parti disentuh.

“Walaupun dengan siapa kita berkawan, tapi apabila prinsip dilanggar, maruah dicabar, garis merah disentuh, Umno akan tegak melawan,” katanya.

Semalam, Zahid menegaskan Umno mahu penganjuran program diteliti supaya selari nilai budaya, agama dan identiti negara susulan kegusaran mengenai festival air berkenaan.

Katanya, Umno meminta program seumpama itu diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaan kerana apa juga penganjuran tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.