
Zahid berkata Johor mempunyai nilai sejarah besar kepada Umno kerana parti Melayu itu dilahirkan di negeri berkenaan, khususnya di Istana Besar Johor.
“11 Mei nanti, genap 80 tahun Umno dilahirkan. Umno dilahirkan di Istana Besar Johor. Johor yang telah melahirkan Umno.
“Kita minta menteri besar Johor (Onn Hafiz Ghazi), usahalah sebaik mungkin agar pada 11 Mei nanti kita dapat ke Istana Besar untuk bersama-sama menyambut 80 tahun Umno,” katanya ketika berucap menutup Konvensyen 80 Tahun Umno di WTCKL.
Zahid juga meminta Onn Hafiz mendapatkan kebenaran supaya pemimpin dan ahli parti dapat kembali ke lokasi bersejarah itu sempena ulang tahun kelahiran parti tersebut.
“Saya yakin beliau (Onn Hafiz) akan berjaya mengusahakannya,” katanya disambut tepukan gemuruh ahli Umno.
Dalam ucapannya, Zahid mengimbas penubuhan Umno pada 1946 ketika para pendiri parti bangkit menentang Malayan Union.
Beliau berkata tokoh seperti Onn Jaafar, Wahab Panglima Bukit Gantang, Pendeta Za’ba, Cikgu Zaharah dan Ibu Zain Sulaiman berjuang demi membebaskan bangsa daripada belenggu penjajahan.
Menurutnya, penubuhan Umno ketika itu menjadi anjakan pertama kepada penyatuan bangsa apabila 41 pertubuhan Melayu disatukan atas kesedaran bahawa kekuatan yang berselerak tidak mampu mengangkat maruah bangsa.
Zahid berkata sejarah itu wajar terus diingati kerana ia menjadi asas kepada perjuangan Umno untuk menyatukan orang Melayu dan mempertahankan kedudukan bangsa.
“Bercakap tentang kemerdekaan terlalu mudah sahaja tetapi mahukan kemerdekaan itu kekal di tangan kita adalah satu perkara yang berat dan susah,” katanya.