Pemimpin Umno cipta sejarah hadir kongres DAP buat kali pertama

Pemimpin Umno cipta sejarah hadir kongres DAP buat kali pertama

Presiden Umno Zahid Hamidi hadir di Hotel Marriott, Putrajaya, pagi ini, disambut Setiausaha Agung Loke Siew Fook.

(Dari kanan) Zahid Hamidi, Zambry Abd Kadir dan Asyraf Wajdi Dusuki pada Kongres Kebangsaan DAP di Hotel Marriott Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Umno membuat penampilan kali pertama pada Kongres Kebangsaan DAP, dengan dua bekas musuh ketat itu kini bersama-sama menganggotai kerajaan perpaduan.

Presiden Umno Zahid Hamidi tiba di Hotel Marriott Putrajaya, pagi ini, bersama Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir.

Kehadiran mereka disambut pemimpin DAP, termasuk Setiausaha Agung Loke Siew Fook, serta diraikan dengan tepukan oleh ahli parti.

Turut hadir pemimpin lain dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, serta Naib Presiden PKR Amirudin Shari.

Pada Jun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Loke diundang ke Perhimpunan Agung Umno (PAU). Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menghadiri PAU buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun, manakala Loke pemimpin DAP pertama yang diundang oleh Umno.

Ketika mengumumkan kongres kebangsaan parti itu pada Isnin lepas, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim berkata, pemimpin semua parti kerajaan perpaduan diundang menghadirinya.

Tambahnya, kongres itu akan memberi tumpuan kepada isu dalaman parti serta perkara-perkara membabitkan kerajaan perpaduan, termasuk dasar-dasarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.