Jangan cemar Hari Malaysia dengan demonstrasi, Pemuda PN diberitahu

Jangan cemar Hari Malaysia dengan demonstrasi, Pemuda PN diberitahu

Setiausaha PH Sabah Mustapha Sakmud berkata sepatutnya ulang tahun ke-60 dijadikan wadah mendidik generasi muda tentang sejarah pembentukan Malaysia.

Setiausaha PH Sabah Mustapha Sakmud berharap generasi muda yang sayangkan negara berfikiran rasional dan tidak terjebak dengan seruan berdemonstrasi.
KUALA LUMPUR:
Rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengadakan demonstrasi pada sambutan Hari Malaysia Sabtu ini akan menjejaskan perayaan nasional itu yang sepatutnya disambut penuh keharmonian, kata Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia tahun ini amat bermakna kerana negara bakal menyambut 60 tahun pembentukan Malaysia.

“Sepatutnya ulang tahun ke-60 ini dijadikan wadah untuk mendidik generasi muda tentang sejarah dan intipati pembentukan Malaysia dan bagaimana kita merencana agenda masa depan negara ini.

“Mengajak generasi muda untuk turun berdemonstrasi bukan saja tidak menghormati perayaan nasional ini, tapi memberi isyarat yang tidak baik kepada generasi muda negara,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Mustapha yang juga timbalan menteri sumber manusia berharap generasi muda yang sayangkan negara berfikiran rasional dan tidak terjebak dengan seruan berdemonstrasi itu.

Ahi Parlimen Sepanggar itu berkata, kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang berusaha memastikan generasi muda negara dapat menikmati kehidupan lebih baik menerusi akses pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan baharu, gaji progresif serta jaringan perlindungan komprehensif.

“Marilah kita bersama meraikan sambutan ulang tahun Hari Malaysia ke-60 dengan tekad dan semangat baharu dalam memastikan negara ini akan terus diperkasakan dan menjadi antara peneraju ekonomi di rantau ini.

“Generasi muda perlu mencorakkan masa depan negara ini dengan teras keharmonian dan perpaduan yang dihasratkan oleh generasi terdahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.