Sekatan jalan di KL tak berkait demo, kata polis

Sekatan jalan di KL tak berkait demo, kata polis

Ketua Polis KL Allaudeen Abdul Majid berkata sekatan jalan raya sebahagian operasi mencegah jenayah dan pematuhan trafik.

Beberapa sekatan jalan raya dibuat sejak pagi tadi di sekitar Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Polis menafikan sekatan jalan raya di pusat bandar Kuala Lumpur sejak pagi tadi berkait himpunan Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang dijadual berlaku petang ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata sekatan jalan raya itu sebahagian “operasi mencegah jenayah dan pematuhan trafik” di kota raya.

“Tiada ada kena mengena dengan himpunan,” katanya kepada FMT.

Media dimaklumkan penganjur himpunan bahawa beberapa sekatan jalan raya dibuat sejak pagi tadi, di Melawati menuju MRR2 dan dari Jalan Ampang menuju Kuala Lumpur, termasuk di Kampung Baru.

Semalam, Malaysiakini memetik Allaudeen sebagai berkata, polis tidak akan menutup jalan raya sekitar Kuala Lumpur di mana bantahan dijadual berlaku hari ini.

Allaudeen berkata pihaknya telah membuat persiapan sewajarnya bagi memastikan keamanan dan keselamatan, termasuk anggota untuk memantau perhimpunan itu dan bersiap sedia bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Ditanya sama ada polis akan menempatkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sebagai langkah bersiap sedia, Allaudeen berkata tidak.

Semalam, polis memaklumkan pemakluman yang dihantar bagi himpunan “Selamatkan Malaysia” ditolak kerana maklumat tidak lengkap dan tidak menepati syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman.

Pada sidang media, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain, berkata antara butiran penting tidak dilengkapkan adalah seperti nama penganjur perhimpunan serta lokasi tempat berhimpun. “…risikan mendapati lokasi himpunan mereka berubah dari masa ke masa.”

Sebelum ini, Pemuda PN berkata himpunan pada Hari Malaysia diadakan sebagai membantah Presiden Umno Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas dalam kes berkait Yayasan Akalbudi.

Sebelum itu himpunan dirancang diadakan di hadapan Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari kemudian berkata, pihaknya bersedia menukar lokasi himpunan ke Bukit Bintang.

Bagaimanapun, selepas itu dilaporkan himpunan berpindah ke Kampung Baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.