Kenapa tak asing peranan peguam negara, pendakwa raya ketika perintah, Azalina tanya PN

Kenapa tak asing peranan peguam negara, pendakwa raya ketika perintah, Azalina tanya PN

Azalina Othman Said menyelar PN kerana tidak bertindak ketika memerintah negara selama lebih 2 tahun.

Azalina Othman Said menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (PN-Larut) pada sidang Dewan Rakyat mengenai pendakwaan terpilih. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menyelar pembangkang kerana gagal bertindak mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya semasa mereka memerintah.

Azalina (BN-Pengerang) di Dewan Rakyat menuduh Perikatan Nasional (PN) tidak bertindak ketika menerajui Putrajaya selama lebih dua tahun, merujuk kepada tempoh Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob memimpin pentadbiran negara.

“(Pembangkang) bukan saja tak buat, cakap pun tak. Kami tunggu, saya duduk situ, saya tegur, saya duduk ‘backbencher’,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kerajaan (perpaduan) komited kepada tatakelola yang lebih adil. Kami ‘walk the talk’. Mereka ‘don’t walk, don’t talk’.”

Azalina berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pendakwaan terpilih, memetik tuduhan salah guna kuasa dihadapi Muhyiddin sebagai contoh.

Hamzah turut menzahirkan kebimbangan berhubung keputusan peguam negara membenarkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan dalam kes berkait dana Yayasan Akalbudi.

Azalina menegaskan, selain Yang di-Pertuan Agong, peguam negara adalah satu-satunya individu yang mempunyai budi bicara atau kuasa dalam perkara itu seperti yang termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 145(3) menyatakan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

“Ini bermakna peguam negara ada kuasa untuk mendakwa (seseorang) dan melepaskan (mereka),” katanya.

“Inilah sebabnya kerajaan komited untuk mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dan kami telah setuju pada dasar mengenai perkara itu.”

RUU Pendanaan Politik

Sementara itu, Azalina berkata, Jemaah Menteri pada 8 Sept telah bersetuju skop pertimbangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen (JPKP) mengenai hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi.

Katanya, terdapat tujuh pertimbangan peruntukan asas untuk RUU tersebut, seperti berikut:

  • penggubalan undang-undang baharu untuk mengawal selia pendanaan politik;
  • penubuhan badan berkanun bebas untuk memantau dan mengawal pendanaan politik pada setiap masa, tidak terhad kepada tempoh pilihan raya;
  • pengawalseliaan pendanaan parti politik dan calon pilihan raya, termasuk calon bebas dan ejen;
  • larangan terhadap entiti asing memberi dana politik
  • penetapan had pendanaan politik
  • kewajipan individu atau parti politik mengisytiharkan sumbangan kewangan; dan
  • penubuhan akaun khas untuk pendanaan politik

RUU itu pada asalnya dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan pertama dan kedua November lepas. Bagaimanapun, pembentangan gagal dibuat berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Okt, menjelang PRU15

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.